Tuesday 22 April 2014

Sambungan Kisah..........

Teks  :  Hamidah  Saat

Alangkah sedih serta sayu kami mendengar permintaan daripada ibu Zalehar. Kami membaca yassin bersama sambil air mata kesedihan mengalir di pipi. Walau bagaimanapun kami tetap meneruskan hingga ke akhirnya. Abah Din juga turut serta membacakan surah yassin buat isteri tersayang, ibu Zalehar. Ibu Zalehar tidak banyak bercakap pagi itu, tetapi beliau sering memberitahu nenek Hendon datang meziarahinya. Nenek Hendon adalah ibu kandung kepada ibu Zalehar yang juga pesakit barah payudara.

Ibu Zalehar akan memberitahu kepada semua anak-anaknya kedatangan nenek Hendon. Pagi yang meninggalkan seribu kenangan itu memang tidak akan saya lupakan buat selamanya. Saya telàh diberitahu oleh bibik Ina yang najis ibu Zalehar sudah bercampur darah. Saya memberitahu Abah Din mengenainya. Abah Din seperti tidak dapat menahan kesedihan apabila mendengarnya. Abah Din memanggil seluruh ahli keluarga dan adik-beradik ibu Zalehar berkumpul di rumah. Denyutan nadi di kaki ibu Zalehar sudah tidak dapat dirasakan lagi. Walau bagaimanapun kami tetap membawa ibu Zalehar ke hospital untuk rawatan doktor seterusnya.

Semasa saya dan Bibik Ina menukarkan kain ibu zalehar bahagian pehanya telah ditumbuhi bintik-bintik merah. Doktor pernah berpesan yang bintik-bintik merah itu menunjukkan salur darah telah pecah dan darah cuba keluar melalui liang roma. Ya Allah! Masyaa Allah betullah apa yang doktor katakan. Kami saling berpandangan tetapi ibu Zalehar tetap tenang dan mulutnya tidak lepas dengan ucapan Allah. Apabila ambulan sampai saya menemani ibu Zalehar ke hospital. Setibanya di sana doktor memanggil semua ahli keluarga dan meminta kami semua bertenang dan redha atas ketentuan Allah. Ahli keluarga diminta tidak meninggalkan ibu Zalehar dan diminta membacakan surah yassin untuknya.

Lebih kurang waktu asar ibu Zalehar menghembuskan nafas yang terakhir dengan kalimah terakhir "ashaduallah illaa hailauallah waashaduanna muhamaddar rosulullah". Saya, Adik Raihan, Bibik Ina dan Mak Melah menyaksikan saat-saat terakhir ibu Zalehar. Beliau pergi dengan tenang sekali. Semoga ibu Zalehar ditempatkan di surga Mu Ya Allah bersama-sama orang lain yang beriman. Alfatihah. Kehilanganmu sukar untuk dicari ganti wahai ibu mertuaku, ibu Zalehar....... Sekian untuk kali ini.

No comments:

Post a Comment